SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan 100,000 usahawan menyertai program Platform Selangor (PLATS) menjelang akhir tahun ini, dengan memperluas penyertaan kepada peniaga barangan basah dan kering di pasar awam.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha berkenaan bertujuan menarik lebih ramai usahawan terlibat dalam ekosistem digital menerusi program di bawah kelolaan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu.
Beliau berkata setakat ini kira-kira 88,000 usahawan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) telah berdaftar dengan PLATS sekali gus melepasi sasaran 50,000 penyertaan yang ditetapkan tahun ini.
"Kita akan cuba tambah lagi faedah, keistimewaan yang ada untuk tarik usahawan baharu sertai PLATS selain empower mereka yang telah menyertai inisiatif ini termasuk melalui transformasi digital yang telah dilaksanakan kepada golongan peniaga terlibat.
"Di Selangor ini kita masih ada banyak peniaga, penjaja, gerai yang boleh didekati, satu daripada contohnya adalah pendekatan yang kita laksanakan di Pasar Seksyen 6 dan kalau projek ini berjaya, kita boleh kembangkan ke lebih banyak pasar di bawah pihak berkuasa tempatan lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik PLATS 2024/2025 di sini hari ini.
Amirudin berkata PLATS yang kini memasuki fasa pengukuhan perlu memperluas penglibatan semua bidang keusahawanan atau peniaga berbanding hanya menumpukan kepada kedai makan, restoran, penjaja, dan pasar malam sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi memperkukuh platform itu, hari ini pihaknya telah menjalin kerjasama strategik dengan enam rakan sinergi baharu, iaitu Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), MYNIC Berhad, Selangor Technical Skill Development Centre (STDC), SIRIM Berhad, Media Selangor Sdn Bhd dan Red Giant Creative House Sdn Bhd.
PLATS mula diperkenalkan pada Ramadan 2022 ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu penjaja kecil, peniaga mikro dan usahawan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi digital di samping mengatasi cabaran ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA