AM

PROGRAM ‘BIGGEST LOSSES’ BANTU 90 WARGA PDRM KELANTAN ATASI OBESITI

15/07/2025 06:23 PM

KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Program penurunan Indeks Jisim Badan (BMI) ‘Biggest Losses’ yang dilaksanakan selama enam bulan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan berjaya membantu sebanyak 90 pegawai, anggota dan kakitangan awam daripada 354 peserta keluar daripada kategori obesiti.

Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Thamby berkata seramai 264 lagi peserta masih meneruskan program itu dan dipantau rapi dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan menerusi pendekatan kesihatan menyeluruh.

“Matlamat utama program ini adalah untuk membantu warga PDRM mencapai tahap BMI ideal, meningkatkan stamina serta daya tahan fizikal selain membudayakan amalan kerja sihat.

“BMI ideal bukan sekadar petunjuk kesihatan malah mencerminkan tahap kesiapsiagaan fizikal, imej profesionalisme serta kemampuan anggota melaksanakan tugas mencabar dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program ‘Biggest Losses’ Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan, hari ini.

Program bermula November tahun lepas itu hasil inisiatif Cawangan Latihan, Jabatan Pengurusan Kontinjen Kelantan melibatkan 10 daerah serta 10 jabatan di bawah PDRM negeri.

Mohd Ali berkata pelbagai aktiviti dijalankan termasuk sesi kecergasan berkala, pemantauan berat badan dan galakan pengambilan makanan sihat bagi memastikan perubahan gaya hidup peserta lebih menyeluruh serta berterusan.

Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan menjadi contoh kepada seluruh warga PDRM Kelantan untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan individu dan organisasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan