Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah intra harinya hari ini berikutan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor perkhidmatan kewangan dan pembinaan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.11 mata atau 0.79 peratus kepada 1,525.40 daripada paras penutup 1,537.51 pada Isnin.
Public Bank susut 8.0 sen kepada RM4.26, Maybank turun 7.0 sen kepada RM9.65 dan Gamuda berkurangan 13 sen kepada RM4.96. Kaunter-kaunter ini menyeret turun indeks komposit sebanyak 5.42 mata.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.45 mata kepada 1,536.06 dan berlegar antara paras 1,525.40 dan 1,538.56 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 601 berbanding 412 manakala 498 kaunter tidak berubah, 918 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.07 bilion saham bernilai RM2.36 bilion daripada 2.93 bilion saham bernilai RM1.67 bilion pada Isnin.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata penurunan FBM KLCI hari ini mencerminkan pendekatan dagangan berhati-hati dalam kalangan pelabur walaupun terdapat peningkatan dalam sentimen pasaran.
“Fokus pelabur terus tertumpu kepada kemajuan rundingan tarif AS-Malaysia, dengan tarikh akhir 1 Ogos pengenaan duti import 25 peratus semakin hampir.
"Pasaran nampaknya mengambil kira proses rundingan berpanjangan, yang seterusnya membawa kepada pengelakan risiko," katanya kepada Bernama
Sementara itu, beliau berkata pengumuman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai permit perdagangan strategik bagi cip kecerdasan buatan (AI) adalah langkah yang dialu-alukan bagi kawal selia yang lebih jelas, manakala kebimbangan berterusan terhadap potensi kawalan eksport AS ke atas penghantaran cip AI ke Malaysia terus membayangi sentimen terutamanya dalam sektor teknologi dan semikonduktor.
“Bagaimanapun, daripada perspektif jangka sederhana hingga jangka panjang, kami melihat pengukuhan tadbir urus dan piawaian pematuhan sebagai anjakan struktur positif yang boleh meningkatkan kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, yang berpotensi menjadi pemangkin keyakinan pelabur pada masa hadapan,” katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi lain, CIMB turun 6.0 sen kepada RM6.63, Hong Leong Bank susut 26 sen kepada RM19.30, Tenaga Nasional berkurangan 8.0 sen kepada RM13.90, 99 Speed Mart menambah 3.0 sen kepada RM2.30 dan Sunway naik 4.0 sen kepada RM4.92.
Dalam kalangan kaunter cergas, Zetrix AI turun 5.5 sen kepada 93 sen, Nationgate susut 12 sen kepada RM1.49, Dagang NeXchange turun 1.0 sen kepada 30.5 sen, NexG naik setengah sen kepada 47.5 sen manakala Tanco tidak berubah pada 90.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 82.38 mata kepada 11,476.08, Indeks FBMT 100 merosot 83.43 mata kepada 11,237.61, dan Indeks FBM Emas Shariah turun 77.42 mata kepada 11,483.18.
Indeks FBM 70 turun 98.80 mata kepada 16,688.40, manakala Indeks FBM ACE meningkat 16.10 mata kepada 4,587.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 161.22 mata kepada 17,502.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.48 mata kepada 153.39 dan Indeks Perladangan susut 15.68 mata kepada 7,418.42. Indeks Tenaga turun 8.46 mata kepada 738.92.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melantun semula kepada 1.44 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 1.13 bilion unit bernilai RM1.35 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.28 bilion unit bernilai RM172.45 juta daripada 1.46 bilion unit bernilai RM208.01 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 347.59 juta unit bernilai RM122.67 juta daripada 342.18 juta unit bernilai RM113.55 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 171.02 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (350.21 juta), pembinaan (107.34 juta), teknologi (365.39 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.91 juta), hartanah (134.33 juta), perladangan (13.85 juta), REITs (28.72 juta) dana tertutup (3,400), tenaga (69.98 juta), penjagaan kesihatan (50.38 juta), telekomunikasi dan media (30.08 juta), pengangkutan dan logistik (37.56 juta), utiliti (28.22 juta) dan amanah perniagaan (24,300).
-- BERNAMA