KUALA LUMPUR, 15 (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited untuk memacu inovasi menerusi penyelidikan yang memberi impak nyata kepada dunia sebenar.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM Prof Dr Intan Zaurah Mat Darus berkata universiti berkenaan, melalui Azman Hashim International Business School (AHIBS) dan Persidangan AHIBS-ACT 2025 terus memperkukuh hasrat untuk mencapai kecemerlangan global dengan menerajui penyelidikan transdisiplin dan menggalakkan kerjasama antarabangsa.
“Persidangan ini bukan sekadar wacana akademik. Ia adalah tentang tindakan, hubungan dan tujuan. Ia menyatukan pelbagai aliran pemikiran, amalan dan komuniti untuk mencipta impak yang berkekalan.
“AHIBS-ACT berkembang menjadi satu platform bermakna, sempadan antara teori dan amalan menjadi kabur dan penyelesaian sebenar muncul. Anda bukan sahaja memimpin dengan contoh dalam UTM tetapi juga menetapkan penanda aras untuk sekolah perniagaan di seluruh rantau ini,” katanya semasa ucapan alu-aluan pada AHIBS-ACT 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Persidangan AHIBS-ACT 2025 Prof Madya Dr Haliyana Khalid.
Berlangsung dari 15 dan 16 Julai dengan tema Weaving Horizons for Sustainable Impact, persidangan itu menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pemimpin industri, badan bukan kerajaan serta wakil komuniti terpinggir dari ASEAN dan luar rantau.
Ia menampilkan penyelidikan transdisiplin yang mempunyai aplikasi dunia sebenar, bersama projek komuniti yang diketuai oleh AHIBS dan UTM, sekali gus mengukuhkan peranan akademia dalam menjayakan pembangunan mampan dan inklusif.
Selaras dengan pelan hala tuju UTM ASCEND2030, acara ini turut mengetengahkan komitmen AHIBS dalam memperkasakan komuniti terpinggir melalui penglibatan berterusan.
Persidangan ini dimulakan dengan Forum Kebangsaan Kepimpinan Kesihatan Digital yang menampilkan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad, yang membincangkan strategi kesihatan digital negara dan keperluan kepada sistem penjagaan kesihatan berpusatkan rakyat serta bersedia menghadapi masa depan.
Sementara itu, Shamsul Azri dalam ucaptama beliau berkata dengan mengintegrasikan penyelidikan kepada cabaran dunia sebenar, AHIBS sedang membantu membina Malaysia yang berdaya saing dan penuh belas kasihan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf AHIBS, bukan sahaja atas kecemerlangan dalam aspek pengantarabangsaan tetapi juga dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada komuniti yang sering diketepikan.
“Keseimbangan ini mencerminkan kebijaksanaan. Ia menunjukkan pemahaman bahawa kemajuan sebenar bukanlah dengan mendahului orang lain tetapi membantu yang lain bangkit bersama,” katanya.
Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran persidangan berkenaan.
“Anda (penganjur) bukan sekadar merealisasikan sebuah idea. Anda telah mencipta ruang untuk tujuan yang bermakna dan memberi permulaan kepada impak mampan. Semoga persidangan ini menjadi sinar penunjuk jalan, bukan sekadar dalam idea tetapi dalam niat. Bukan sekadar dalam kata-kata tetapi tindakan yang berkekalan,” katanya.
-- BERNAMA