PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 susulan kekeliruan yang timbul berhubung proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata satu jawatankuasa khas akan dibentuk, melibatkan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pakar perlembagaan, peguam serta ahli akademik bagi meneliti semula struktur dan tafsiran akta berkenaan.
"Kita perlu penambahbaikan kerana yang berlaku sekarang ini ialah wujud banyak kekeliruan, tiada kejelasan dari sudut pandangan awam. Namun, JAC yang telah diluluskan dan ditubuhkan pada 2009 ini bertanggungjawab dalam (pelantikan) lima Ketua Hakim Negara. Ia sebenarnya tidak pernah menjadi isu sebelum ini.
“Malangnya, kini timbul isu, jadi kita perlu betul-betul meneliti perkara ini. Dari manakah datangnya kekeliruan atau tidak jelas itu? Adakah ia berpunca daripada proses atau peruntukan dalam akta itu sendiri?” katanya.
Azalina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia (MICGI) 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Azalina berkata JAC bukanlah undang-undang yang mengikat dalam pelantikan hakim.
Beliau berkata JAC lebih kepada menapis, menilai dan mencadangkan nama-nama calon kepada Perdana Menteri manakala pelantikan ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi masih perlu mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA