PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta terus melaksanakan libat urus bersama komuniti perniagaan dan pelabur bagi mendapat maklum balas isu rasuah yang boleh menjejaskan prospek perniagaan serta pelaburan di Malaysia.
Strategi pembaharuan yang perlu diberi keutamaan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di sini hari ini.
Pasukan Petugas Khas CPI memaklumkan dalam kenyataan sesi libat itu juga perlu dilaksanakan bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).
Menurut kenyataan itu, beberapa strategi pembaharuan lain yang dikenal pasti untuk diberi keutamaan oleh Kumpulan Fokus (FG) CPI termasuk pembudayaan integriti dan adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah dengan menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai model peranan kepada PBT yang lain.
“Diharapkan pelaksanaan inisiatif strategik oleh Pasukan Petugas Khas CPI ini akan memberi impak positif kepada prestasi Malaysia dalam CPI akan datang, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap sistem pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.
Pasukan Petugas Khas itu turut memaklumkan prestasi Malaysia dalam laporan IMD World Competitiveness Ranking 2025 menunjukkan peningkatan 11 anak tangga iaitu dari kedudukan ke-34 pada 2024 ke kedudukan ke-23 tahun ini.
“Indikator Sogokan dan Rasuah yang meningkat sebanyak 12 anak tangga turut menyumbang kepada peningkatan prestasi Malaysia dalam IMD,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA