EKONOMI

MALAKOFF METERAI MOU DENGAN EESB BANGUNKAN PROJEK TENAGA HIJAU DI SARAWAK

15/07/2025 10:17 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Pengeluar tenaga bebas Malakoff Corp Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kumpulan hartanah dan pembinaan Evergreen Earth Sdn Bhd (EESB) untuk membangunkan projek tenaga hijau di Sarawak.

Majlis MoU itu bersempena dengan Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Ia disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Pertukaran MoU itu melibatkan Ketua Pembangunan Perniagaan Malakoff Shaja Ibrahim dan Pengarah EESB Datuk Mohamad Danel Abong.

Dalam satu kenyataan bersama, Malakoff dan EESB berkata kerjasama itu merangkumi kajian kebolehlaksanaan, penilaian tapak, strategi pembangunan projek dan model perkongsian tempatan yang berkaitan dengan fotovoltaik solar (PV) dan usaha niaga tenaga boleh baharu (RE) yang lain.

“Kerjasama ini juga akan merangkumi perkongsian dalam kepakaran teknikal, pemahaman terhadap kawal selia dan risikan pasaran, serta usaha yang diselaraskan untuk melibatkan diri dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mendapatkan kelulusan yang diperlukan dan integrasi grid.

“Usaha bersama ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, dalam menyokong matlamat jangka panjang negara ke arah kemampanan dan tenaga bersih,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata projek tenaga hijau mewakili langkah penting ke arah mempercepatkan peralihan tenaga di Malaysia.

“Dengan menyokong usaha Sarawak untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan mempelbagaikan campuran tenaga boleh baharunya, kami menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga yang lebih mampan dan sedia masa depan.

“Projek-projek ini dijangka memberikan nilai ekonomi yang kukuh melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran bakat tempatan dan pembangunan infrastruktur luar bandar. Kerjasama ini mengukuhkan lagi kemajuan tenaga boleh baharu (RE) Malakoff secara keseluruhan yang merangkumi jumlah kapasiti penjanaan sebanyak 198 megawatt (MW) merentas aset-aset tenaga solar, penukaran sisa kepada tenaga dan hidro kecil,” katanya.

Anwar Syahrin juga berkata setakat Jun tahun ini, kapasiti solar atas bumbung Malakoff mencecah 63.6 MW, manakala pada 2024, portfolio tenaga boleh baharunya menjana 67.0 gigawatt-jam (GWh) elektrik bersih.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan