EKONOMI

KERAJAAN SENTIASA PASTIKAN SEBARANG PERJANJIAN AKAN SOKONG PEMBAHARUAN EKONOMI - ZAFRUL

16/07/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pendekatan rundingan kerajaan sentiasa memastikan bahawa sebarang persetujuan yang dicapai menyokong pembaharuan ekonomi negara dan strategi pertumbuhan mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hasil jangka panjang yang negatif bukanlah apa yang orang ramai mahukan, ataupun apa yang diperlukan oleh pembayar cukai pada masa ini dan masa depan.

"Tajuk berita yang menarik dan menggembirakan hanya bertahan selama beberapa hari, paling lama seminggu. Bagaimanapun, perjanjian yang tidak dicapai dengan baik akan membawa kesan jangka panjang kepada pekerja, industri dan ekonomi kita.

“Objektif kita mudah: kita mahu memastikan bahawa sebarang perjanjian menyokong perdagangan pelbagai hala yang terbuka, berasaskan peraturan dan adil, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai tunjangnya,” katanya menerusi ucap tama beliau pada Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025, di sini, hari ini. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan