Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Katanya, niaga hadapan getah Jepun meningkat disokong oleh kebimbangan terhadap kekurangan bekalan selepas pengeluar getah utama, Thailand mengeluarkan amaran berhubung kemungkinan berlaku banjir kilat walaupun permintaan yang perlahan terus menyelubungi prospek pasaran.
“Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan pengumpulan air yang mungkin menyebabkan banjir kilat dan limpahan air dari 19 hingga 21 Julai,” katanya kepada Bernama.
Namun begitu, beliau berkata kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang kekal tinggi selain kebimbangan berterusan mengenai tarif AS.
“Harga pengguna di AS meningkat paling tinggi dalam tempoh lima bulan pada Jun dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) naik sebanyak 0.3 peratus berikutan kenaikan kos bagi beberapa barangan.
"Ini menunjukkan tarif mula memberi kesan kepada inflasi dan mungkin menyebabkan Rizab Persekutuan AS (Fed) terus berwaspada sehingga September,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) melonjak sebanyak 5.5 sen kepada 722.00 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sebanyak 0.5 sen kepada 563.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA