KOTA BHARU, 16 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) negara secara bersepadu, strategik dan berimpak tinggi.
Naib Canselor UMK Prof Dr Arham Abdullah berkata MoU pertama melibatkan kerjasama berkonsepkan sinergi Triple Helix yang diadakan antara UMK serta Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Beliau berkata REE kini diiktiraf sebagai satu daripada lima mineral strategik negara dan memainkan peranan penting dalam teknologi moden termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektronik, pertahanan dan perubatan.
“Di Malaysia, khususnya Kelantan memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang signifikan. Namun, ciri geologi seperti tanah liat penjerapan ion menjadikan proses pengekstrakan lebih mencabar dan memerlukan pendekatan yang lestari, inovatif dan mesra alam.
“Kerjasama ini menekankan pembangunan industri REE tidak boleh dijalankan secara solo, sebaliknya kejayaan bergantung kepada sinergi kukuh antara institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan teknologi yang dibangunkan adalah mampan, relevan dan berskala nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, UMK juga mempunyai barisan penyelidik muda yang proaktif dan kompeten dalam membangunkan penyelesaian REE daripada peringkat huluan hingga hiliran, sekali gus memberi nilai tambah kepada jalinan MoU yang dimeterai.
Mengulas lanjut, Arham berkata MoU kedua pula melibatkan kerjasama dua hala antara UMK dan Upstream Downstream Process & Services Sdn Bhd, dan kerjasama ini menekankan pemindahan teknologi serta pengujian industri secara langsung.
“Sebagai universiti keusahawanan, UMK berusaha mengimbangi keperluan penyelidikan akademik dan aplikasi industri. Kerjasama ini mencerminkan komitmen UMK dalam memacu pembangunan ekosistem REE tempatan di Kelantan,” katanya.
-- BERNAMA