AM

KAWASAN PENCARIAN LELAKI HILANG DIPERLUAS 10 KM DARI LOKASI KERETA TERJUNAM

16/07/2025 06:05 PM

MUAR, 16 Julai (Bernama) -- Kawasan pencarian bagi operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah kenderaannya terjunam ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong di sini petang semalam diperluas hingga 10 kilometer dari lokasi kereta mangsa ditemukan.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari berkata pencarian mangsa Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang memasuki hari kedua diteruskan 8.50 pagi tadi.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan tujuh anggota Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan 11 anggota termasuk tiga pegawai dari BBP Pagoh.

“Turut serta dalam operasi ini 26 anggota polis termasuk seorang pegawai menggunakan bot polis dan bomba di sungai berkenaan. Selain itu, operasi pencarian turut dijalankan di kawasan darat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, rakan mangsa Muhammad Syahmi Mansur, 30, berkata dia bersama sembilan rakan yang lain bergegas mencari Tengku Nizaruddin yang dipanggil Ija berdasarkan lokasi terakhir melalui Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang diberikan isteri mangsa sebaik dimaklumkan mengenai kehilangannya pada Isnin malam. 

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, keadaan sangat gelap dan mereka bertindak mencari Ija hingga ke Muar sebelum kembali semula ke lokasi keesokan harinya dan dimaklumkan mengenai penemuan kereta mangsa.

"Terdapat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di lokasi sebelum kami terus berenang ke arah kereta. Saya dapati ada pelekat kedai aksesori kereta milik Ija di cermin belakang selain mendapati cermin kiri dan kanan bahagian hadapan terbuka manakala pintu tidak berkunci, namun gagal mengesan mangsa kerana air keruh.

“Saya terus maklumkan kepada polis sebelum bomba datang buat pemeriksaan, namun tidak menemukan mangsa,” katanya.

Semalam, Komander Operasi dari BBP Pagoh Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar dilaporkan berkata satu panggilan kecemasan diterima mengenai penemuan kenderaan jenis Perodua Axia dipercayai milik mangsa pada 3.22 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata usaha mencari mangsa giat dijalankan selain meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan