DUNIA

PRABOWO, TRUMP SEPAKAT MENGENAI ERA BAHARU MANFAAT BERSAMA DALAM PERDAGANGAN DUA HALA

16/07/2025 09:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Julai (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata beliau telah mengadakan perbualan telefon yang “sangat baik” dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

Dalam satu hantaran di Instagram pada Rabu, Prabowo berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memulakan “era baharu manfaat bersama” dalam hubungan ekonomi antara Indonesia dan AS.

“Presiden Trump menyampaikan salam mesra beliau kepada rakyat Indonesia,” tambahnya.

Hantaran itu disertakan dengan dua gambar yang menunjukkan Prabowo berada di dalam sebuah bilik yang terang, duduk dengan tenang ketika membuat panggilan telefon dan kemudiannya kelihatan ketawa sambil bersandar dalam keadaan santai.

Pada Selasa, Trump menulis di platform Truth Social bahawa beliau telah memuktamadkan perjanjian penting dengan Indonesia selepas bercakap dengan Prabowo dan perjanjian bersejarah itu membuka keseluruhan pasaran Indonesia kepada AS buat kali pertama dalam sejarah.

Beliau turut mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mengurangkan tarif ke atas import dari Indonesia daripada 32 peratus kepada 19 peratus manakala eksport AS ke Indonesia tidak akan dikenakan sebarang tarif atau halangan bukan tarif.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Indonesia telah bersetuju untuk membeli produk tenaga AS bernilai US$15 bilion, barangan pertanian bernilai US$4.5 bilion, serta 50 pesawat Boeing, tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan