AM

BEKAS WARTAWAN SAMBILAN BERNAMA ZULKAFLI IBRAHIM MENINGGAL DUNIA

16/07/2025 11:55 PM

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) -- Bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Langkawi, Kedah Zulkafli Ibrahim, 74, meninggal dunia di sini semalam.

Anak tunggalnya Mohd Asyraf, 35, berkata Allahyarham yang menghidap penyakit saraf menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Eco Tropics, Kota Masai pada 6.10 pagi.

"Ayah memang sudah lama sakit, cuma dua hari lepas dia nampak semakin lemah dan tidak mahu makan. Saya teman dia tidur sampai lewat malam dan apabila kejut pada awal pagi dia sudah tiada," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini sekitar 2 petang semalam. 

Mohd Asyraf berkata bapanya yang berasal dari Alor Setar menghidap penyakit saraf ketika jatuh tersungkur sewaktu membuat liputan program di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi pada 2011, sebelum terlantar beberapa tahun selepas itu.

Zulkafli yang juga pesara Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi berkhidmat sebagai wartawan sambilan selama lebih 30 tahun mulai 1970-an.

Allahyarham yang pernah berkhidmat di Jabatan Belia dan Sukan juga pernah membuat liputan Sukan SEA 1977 ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwi tahunan itu. 

Sementara itu, Mohd Asyraf menyifatkan bapanya merupakan seorang yang mempunyai semangat yang kental dan sangat rajin mencari bahan berita walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan. 

“Semangat dia tak pernah luntur, rajin dan tak pernah terlepas berita, tak kira masa. Saya masih ingat ketika ayah membawa saya dan arwah mak untuk menemaninya membuat liputan.

"Ayah pun adakalanya memberi pendedahan tentang dunia kewartawanan dari segi menyampaikan sesuatu berita dalam skop sukan, politik, am dan human interest,” katanya. 

Mohd Asyraf ​​​​yang bekerja di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri berkata ibunya Che Salmiah Ismail, 66, yang menghidap kencing manis juga telah meninggal dunia pada 24 Jan lepas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Aman, Simpang Kuala, Alor Setar. 

Allahyarham Zulkafli merupakan penerima ke-58 bantuan Tabung Kasih@HAWANA pada tahun lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj ketika itu turut menziarahi Zulkafli bagi menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA di rumahnya di Taman Sri Mengkudu di Alor Setar. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan