JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SERBU PROGRAM LGBT DI KOTA BHARU, RAMPAS RATUSAN KONDOM DAN UBAT HIV

17/07/2025 11:48 AM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Polis Kelantan mengesahkan menyerbu satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin di sini pada pertengahan Jun lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan mengenai penganjuran pesta makan-makan yang dipercayai dikhaskan untuk golongan gay.

“Maklumat awal yang kita terima menunjukkan perjumpaan itu dihadiri lebih 100 lelaki tempatan, namun ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi, sebahagian besar sudah beredar dan hanya tinggal lebih 20 orang.

“Serbuan dilakukan selepas risikan mendapati perhimpunan itu bermula pada waktu malam dan dijangka berlarutan hingga ke pagi, dengan bayaran dikenakan untuk menyertai acara yang dipromosikan melalui media sosial itu,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV di dalam sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan tempat simpanan oleh penganjur.

Selain itu, siasatan terhadap telefon bimbit milik tiga individu menemukan rakaman video lucah berunsur gay.

“Daripada lebih 20 orang yang ditahan, hanya tiga individu didakwa kerana mereka didapati memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit. Siasatan juga mendapati tiada perlakuan seks berlaku di lokasi ketika serbuan dijalankan, malah semua masih berpakaian lengkap.

“Bagaimanapun, kondom dan ubat HIV yang ditemukan menunjukkan ia sebagai persediaan sekiranya berlaku,” katanya.

Beliau berkata mereka yang terlibat berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam. 

“Pertemuan gay berkenaan adalah pertama kali berlaku di Kelantan dan polis berjaya mengesan serta menyerbu pertemuan seumpama ini,” katanya.

Mohd Yusoff turut memaklumkan ada antara peserta didapati menghidap HIV dan mengambil ubat rawatan sebagai langkah pencegahan.

“Polis juga akan terus memantau pergerakan kumpulan gay seperti ini kerana kita bimbang ia menjadi lebih aktif dan berani,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan