AM

KPKT PERUNTUK RM3 JUTA BAGI PEMBANGUNAN LANDSKAP HIJAU DI KLIA

17/07/2025 01:04 PM

SEPANG, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) memperuntukkan RM3 juta bagi menjayakan projek pembangunan landskap hijau dan lestari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sekitarnya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek yang dijangka siap pada Disember tahun ini akan menyajikan keindahan visual dan keselesaan kepada para pelancong serta delegasi antarabangsa, sekali gus mewujudkan tanggapan pertama yang positif terhadap negara. 

“Ia juga berperanan penting dalam memperkukuh imej dan identiti KLIA sebagai pintu masuk utama yang mencerminkan keunikan dan keharmonian negara.

“Komitmen pembangunan landskap yang dilaksanakan oleh KPKT menerusi JLN ini mencerminkan inisiatif strategik dan usaha berterusan kerajaan dalam memperindah ruang awam serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih lestari, berdaya huni serta kondusif demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya pada sidang media berkaitan pembangunan landskap di KLIA di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, Ketua Pengarah JLN Mansor Mohamad dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani.

Nga berkata lokasi tapak cadangan projek itu melibatkan ruang pelepasan dan ruang ketibaan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA serta sebahagian jalan raya utama laluan keluar dari kawasan KLIA yang menjadi akses utama kepada pengguna terutamanya pelancong yang tiba dari dalam dan luar negeri.

Beliau berkata reka bentuk landskap di KLIA akan dihasilkan secara dalaman oleh pegawai Arkitek Landskap JLN dengan kerjasama pihak MAHB, berkonsepkan Harmoni Dalam Kepelbagaian bagi menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian budaya, merangkumi elemen seperti seni bina, landskap, seni cetakan, artifak, bahasa, bangsa, tradisi dan sebagainya.

Nga berkata pembangunan landskap itu akan melibatkan cadangan reka bentuk landskap menegak di ruang pelepasan dan ketibaan serta penanaman pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan di sepanjang laluan utama untuk meningkatkan kualiti visual di persekitaran KLIA.

“Bagi mempamerkan kepelbagaian budaya Malaysia, kita akan menambahkan ucapan selamat datang dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan