REMBAU,17 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan agensi kerajaan menghidangkan buah-buahan tempatan pada majlis rasmi sebagai tanda sokongan terhadap produk agro tempatan.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata usaha itu dapat membantu meningkatkan ekonomi pengusaha buah-buahan dan sayuran tempatan serta mendidik masyarakat mengutamakan produk tempatan.
Beliau berkata pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan tempatan juga menyaksikan permintaan terhadap produk itu semakin meningkat.
“Kempen Buah-Buahan dan Sayuran Tempatan kali ini berfokus dan berterusan. Kami turut mengingatkan mana-mana majlis kerajaan perlu menggunakan produk dan menu tempatan, pihak katerer juga dimaklumkan perkara berkenaan.
“Kami dapat melihat ada peningkatan permintaan buah-buahan tempatan pada majlis rasmi kerajaan ketika ini berbanding sebelum ini menggunakan buah oren, anggur dan epal,” katanya pada Majlis Perasmian Cawangan Kopiesatu di Petron Pedas di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata peningkatan produk tempatan memberi motivasi kepada petani untuk mengeluarkan lebih banyak hasil dan FAMA juga komited meningkatkan promosi kempen jualan tempatan terutamanya terhadap permintaan tinggi seperti pisang, nanas dan tembikai.
Sementara itu, beliau berkata FAMA akan terus memperkukuh industri kopi tempatan menerusi produk Kopiesatu iaitu jenama kopi tempatan milik penuh agensi itu yang berada di pasaran sejak 2001, kini memiliki 23 cawangan di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif ini bukan sahaja menawarkan cita rasa kopi tempatan berkualiti tinggi, malah berperanan sebagai platform pembangunan usahawan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman.
“Objektif utama penubuhan Kopiesatu adalah untuk menjadi peneraju kepada usahawan kecil dan sederhana dalam industri kopi, memenuhi permintaan terhadap produk kopi tempatan dan seterusnya mempromosikan industri asas tani negara.
“Kopiesatu turut memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan jenama kopi tempatan yang berkualiti tinggi serta berdaya saing,” katanya.
Beliau menjelaskan model perniagaan Kopiesatu ditawarkan secara pelesenan dengan yuran RM20,000 meliputi pelbagai kemudahan dan sokongan seperti pentadbiran, latihan, sistem perisian POS, uniform berjenama Kopiesatu, promosi, pemantauan serta sokongan pelesenan berterusan.
Antara pakej pelesenan ditawarkan termasuklah pakej kiosk, trak makanan (baharu dan sedia ada) serta kereta sorong.
-- BERNAMA