AM

TANGGUNGJAWAB JAGA KEBERSIHAN BANDAR PERLU DIGALAS SEMUA PIHAK - DR ZALIHA

17/07/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Isu kebersihan bandar raya tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen bersama agensi kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian susulan teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terhadap keadaan kebersihan di sekitar Jalan Gallagher di sini baru-baru ini.

“Selepas teguran Tuanku, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah turun segera ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta tindakan susulan lain. Namun, kita tidak boleh hanya mengambil tindakan secara reaktif.

“Saya yakin sebenarnya DBKL mempunyai program khusus untuk projek-projek berkaitan kebersihan. Maka saya kira, kita tidak boleh tinggalkan mana-mana kawasan pun dalam memastikan bandar kita ini kekal bersih,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan Sultan Ibrahim berjalan sejauh 3.2 kilometer bagi melakukan tinjauan mengejut di sekitar Jalan Gallagher untuk melihat tahap kebersihan persekitaran di lokasi itu. 

Baginda menegur keadaan longkang yang tersumbat, kewujudan sampah di tepi jalan serta dahan pokok yang tidak dialihkan dari laluan pejalan kaki.

Susulan teguran itu, DBKL mengambil tindakan segera dengan membersihkan kawasan terlibat, termasuk menyelesaikan masalah saliran tersumbat, timbunan sampah serta gangguan monyet liar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan