AM

PPZ-MAIWP SALUR DANA WAKALAH RM247,760 KEPADA HOSPITAL PUTRAJAYA

17/07/2025 06:00 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menyumbang dana wakalah berjumlah RM247,760 kepada Hospital Putrajaya bagi pembelian lebih 30 jenis peralatan perubatan.

Sumbangan berkenaan disalurkan melalui dana pemegang wakalah MAIWP iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebanyak RM134,560, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (RM50,000) dan baki RM63,200 merupakan dana wakalah majikan dan individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika berucap pada majlis simbolik serahan wakalah di sini hari ini berkata sumbangan berkenaan bukan sekadar angka, malah cerminan empati dan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi khususnya terhadap sistem kesihatan negara.

"Kita semua maklum bahawa dunia kesihatan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran daripada bilangan pesakit yang meningkat sehingga keperluan rawatan yang semakin kompleks.

"Sumbangan ini bukan hanya kepada individu tetapi juga bagi institusi yang menyantuni orang ramai seperti hospital. Hal ini membuktikan bahawa zakat bukan terhad kepada agihan peribadi tetapi juga mampu meningkatkan kapasiti sistem sosial secara menyeluruh," katanya. 

Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh MAIWP kepada entiti yang membayar zakat di PPZ-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Dana berkenaan telah digunakan bagi pembelian peralatan hospital termasuk mesin diatermi, defibrilator, mesin elektrokardiogram (ECG) dan pelbagai kelengkapan lain bagi menyokong keperluan rawatan pesakit dan menampung kos pengurusan jenazah. 

Terdahulu, Mohd Na'im menyerahkan replika sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Nor'Aishah Abu Bakar dan meluangkan masa melawat Wad Pediatrik Endokrin Hospital Putrajaya.

Turut hadir Pengarah Hospital Putrajaya Dr Suraya Amir Husin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Sementara itu, Dr Nor'Aishah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada PPZ-MAIWP atas keprihatinan pihak itu bagi menyantuni warga dan pengguna Hospital Putrajaya.

"Wakalah bersasar ini memenuhi keperluan komuniti dan sumbangan berkenaan digunakan bagi peralatan perubatan yang akan dimanfaatkan oleh anggota hospital, sekali gus memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna hospital,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan