BATU KAWAN, 17 Julai (Bernama) -- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawakan pameran antikeganasan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman keganasan dan ekstremisme.
Pegawai Turus E8 Cawangan Khas Bukit Aman, ACP Ridzuan Abdul Aziz, berkata pameran berkenaan memberi pendedahan langsung kepada masyarakat mengenai bahaya penglibatan dalam kegiatan keganasan yang bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat, malah kestabilan negara.
Beliau berkata antara pengisian utama pameran tersebut ialah paparan senjata api dan bom buatan sendiri yang pernah digunakan kumpulan pengganas, selain dokumen berkaitan termasuk pasport pengganas.
“Pameran ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya keganasan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mudah terpengaruh dengan fahaman radikal melalui media sosial.
“Kami mahu masyarakat lebih memahami bentuk dan modus operandi kumpulan pengganas agar mereka tidak terjerumus dalam kegiatan berbahaya ini yang bukan sahaja merosakkan rakyat, malah menggugat kestabilan negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi pameran di sini hari ini.
Menurutnya pameran berkenaan jarang diadakan secara terbuka, namun lokasi dan suasana SMP kali ini dianggap sesuai untuk menyampaikan mesej penting itu kepada masyarakat.
Antara tarikan utama ialah pameran bahan bukti rampasan berkaitan aktiviti keganasan, paparan visual operasi tangkapan berprofil tinggi serta sesi interaktif bersama pegawai E8 yang menjelaskan kaedah pengesanan dan pemantauan elemen ekstremis.
“Pameran ini juga bertujuan mendidik orang ramai mengenai tanda awal penglibatan dalam kegiatan keganasan serta menekankan peranan penting masyarakat dalam usaha membanteras pengaruh ideologi radikal,” katanya.
Ridzuan berkata jika sebelum ini rakyat tempatan terpengaruh dengan kumpulan pengganas luar seperti di Syria, kini tumpuan lebih kepada keganasan domestik
“Golongan muda paling mudah terdedah kerana rekrut kumpulan pengganas kini lebih aktif di media sosial, khususnya melalui aplikasi Telegram. Justeru, pameran ini adalah antara langkah pencegahan melalui pendidikan, khususnya untuk belia dan pelajar,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa pendidikan awam bagi membina daya tahan masyarakat terhadap dakyah keganasan.
“Kita mahu orang ramai tahu bahawa ancaman keganasan itu wujud dan bukan sekadar retorik,” katanya.
SMP Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung sehingga 20 Julai ini menawarkan lebih 35 aktiviti menarik untuk pengunjung di pekarangan Stadium Batu Kawan.
-- BERNAMA