MELAKA, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak lapan buah rumah transit siap dibina di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM560,000 setakat pertengahan bulan ini.
Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata rumah transit tersebut melibatkan DUN Tanjung Bidara, Paya Rumput, Taboh Naning, Merlimau, Duyong, Lendu, Pengkalan Batu dan Pantai Kundor.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif ‘Satu DUN, Satu Rumah Transit’ yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Bencana telah dimulakan sejak 2023 bagi menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara kepada mangsa bencana seperti kebakaran, banjir, ribut dan sebagainya.
“Ketika ini, satu lagi rumah transit sedang dibina di DUN Serkam manakala kawasan lain akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan peruntukan semasa,” katanya selepas menyerahkan rumah transit DUN Duyong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), hari ini.
Majlis penyerahan turut menyaksikan Pengarah Eksekutif LPM Datuk Murad Husin menyerahkan surat penyerahan rasmi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Zulkiflee berkata setiap rumah transit dibina dengan kos RM70,000 seunit dan disediakan secara percuma kepada mangsa, termasuk bayaran bil utiliti yang ditanggung oleh Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun).
“Kita galakkan pembinaan rumah ini berdekatan pejabat Japerun supaya mudah dipantau dan diuruskan,” katanya sambil menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan rumah transit di semua 28 DUN di Melaka.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu rakyat dari segi keperluan tempat tinggal, malah memberi sokongan emosi kepada mereka yang ditimpa musibah.
“Tempoh tinggal maksimum adalah sebulan bagi memastikan lebih ramai yang boleh dibantu,” katanya.
-- BERNAMA