KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Lencongan jalan sementara akan diaktifkan secara berperingkat untuk semua pengguna lebuh raya melibatkan laluan antara Plaza Tol Sungai Besi dan Persimpangan UPM di KM309.7 (kedua-dua arah) bagi kerja-kerja pelancaran struktur gantri, tengah malam ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan kerja-kerja itu akan dilaksanakan mulai 12.01 tengah malam ini hingga 5 pagi esok.
"Dalam tempoh itu, pengguna lebuh raya dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Selatan/UPM/Kajang/Bangi akan dilencongkan ke laluan Stesen Minyak BHP selepas laluan masuk Plaza Tol Sungai Besi.
“Pengguna dari arah Bangi/Kajang yang menghala ke Kuala Lumpur/Sungai Besi akan dilencongkan keluar di Plaza Tol UPM dan seterusnya menggunakan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) sebagai laluan alternatif,” menurut PLUS dalam kenyataan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan sepanjang tempoh tersebut dan mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan petugas PLUS ketika melalui kawasan terbabit.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, Aplikasi X@plustrafik dan Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 bagi sebarang bantuan kecemasan.
-- BERNAMA