AM

ORANG RAMAI DIJEMPUT SERTAI MAJLIS MALAYSIA BERMUNAJAT DOA KESEJAHTERAAN NEGARA

18/07/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mempelawa orang ramai menghadiri majlis Malaysia Bermunajat yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada esok.

Mohd Na’im berkata majlis penuh keberkatan yang akan bermula 6 petang hingga 9 malam itu turut dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malaysia Bermunajat ialah wadah untuk kita kembali memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, memohon keampunan, serta mendoakan keamanan, perpaduan dan keberkatan buat negara Malaysia tercinta.

“Ia juga menjadi simbol kesatuan ummah dalam menjunjung agenda Malaysia MADANI yang berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan insani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara pengisian utama program itu, termasuk solat maghrib berjemaah, Bayan (nasihat agama) oleh  Maulana Tariq Jamil, solat isyak dan solat hajat berjemaah serta ucapan khas Perdana Menteri.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama mengimarahkan rumah Allah itu, membina kekuatan spiritual dan memperteguh kesatuan ummah melalui doa dan ibadah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan