AM

PERJUMPAAN ALUMNI SJK(T) PERAK SANGEETHA SABAH KENANG LEGASI 90 TAHUN SEKOLAH

18/07/2025 05:46 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Majlis perjumpaan semula (reunion) bekas pelajar dan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perak Sangeetha Sabah di sini pada 19 Julai ini bakal mencatat kenangan lebih bermakna kerana diadakan sempena legasi 90 tahun sekolah itu.

Majlis dengan tema 'Menghidupkan Kembali Kenangan, Meraikan Persahabatan’ itu akan diadakandi sekolah bersejarah tersebut.

 Pengerusi penganjur P. Chithirakala Vasu berkata acara itu akan diserikan dengan persembahan kebudayaan, sebagai penghargaan istimewa kepada bekas guru serta pelancaran cenderamata kenangan.

“Bagi sebahagian alumni, perjumpaan semula ini bukan sekadar pertemuan yang penuh nostalgia tetapi penghargaan tulus ikhlas kepada institusi yang telah membantu mencorakkan kehidupan mereka dan meraikan persahabatan yang terus kukuh sejak sekian lama,” katanya.

Diasaskan pada 1934 oleh mendiang Saravanamuthu sebagai sebuah kelas muzik kecil untuk anak-anak pekerja Keretapi Tanah Melayu, sekolah itu telah berkembang menjadi institusi pendidikan yang amat dihargai dalam kalangan masyarakat India tempatan.

Sekolah tersebut kini beroperasi di bangunan moden empat tingkat yang siap pada 2010, susulan projek pembangunan dilancarkan pada 2005 untuk meningkatkan fasiliti dan menyokong pembangunan holistik murid.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan