JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM KONGSI PENDEKATAN STRATEGIK BANTERAS RASUAH BERSKALA BESAR PADA MICGI 2025

18/07/2025 06:44 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi pendekatan strategik dalam membanteras gejala rasuah berskala besar pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia (MICGI) 2025 di sini pada Selasa lepas.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkongsi pendekatan strategik termasuk kaedah risikan melalui teknologi, pengumpulan bukti forensik dan pemulihan aset yang diseleweng ke luar negara. 

Pada persidangan itu, Mohamad Zamri menekankan kepada ancaman rasuah siber dan pengubahan wang haram melalui mata wang kripto dengan tumpuan kepada “Cyber Corruption” serta memperkukuh penyitaan aset digital.

“Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pembaharuan dasar, penubuhan pasukan khas domestik dan antarabangsa serta pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperkenalkan liabiliti korporat bagi organisasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, Mohamad Zamri turut menyentuh keperluan memperkukuh penguatkuasaan terhadap “foreign bribery” untuk melindungi kedaulatan negara dan integriti perniagaan Malaysia di peringkat global. 

“Usaha agresif SPRM dalam memerangi rasuah melalui pendekatan menyeluruh kerajaan yang menyumbang kepada jaminan keselamatan kewangan, keyakinan pelabur serta mengekalkan keadaan reputasi negara.

“Melalui persidangan ini, SPRM komited untuk membuktikan Malaysia dalam memperkukuh integriti, membanteras rasuah berskala besar serta memperluas kerjasama antarabangsa demi kedaulatan dan pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Persidangan antarabangsa itu anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dengan kerjasama International Anti-Corruption Academy (IACA) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC). 

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan