KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Pasar Siti Khadijah bakal muncul dengan wajah baharu apabila kerja-kerja naik taraf pasar ikonik itu dijangka siap sepenuhnya tahun ini, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata projek berkenaan akan memberi keselesaan maksimum kepada pengunjung dan 1,500 peniaga tempatan, sekali gus memperkukuh peranan pasar itu sebagai tarikan utama pelancongan di Kelantan.
Katanya kerja-kerja naik taraf meliputi pembaikan tandas awam kepada tandas mesra pelancong, pendawaian elektrik baharu, kemasan cat bangunan serta penambahbaikan struktur dalaman.
“Projek ini hasil komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kementerian yang memperuntukkan keseluruhan RM7 juta. Daripada jumlah itu, RM5.5 juta adalah peruntukan khas Perdana Menteri, manakala KPKT menambah RM1.5 juta,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan lawatan ke pasar berkenaan hari ini.
Beliau berkata projek itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekonomi rakyat menerusi pembangunan infrastruktur yang menyokong sektor pelancongan.
Menurutnya selain memberi wajah baharu kepada Pasar Siti Khadijah, KPKT turut melaksanakan pelbagai projek prasarana awam lain di Kota Bharu yang dekat di hati rakyat.
Pada masa sama, Nga turut meninjau projek MyKiosk hasil kerjasama KPKT dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), yang kini telah menempatkan 17 peniaga tempatan.
“Saya dimaklumkan ada peniaga burger yang berjaya memperoleh lebih RM10,000 sebulan hasil perniagaan di kiosk ini. Sewa dikenakan hanyalah RM150 sebulan dan kita beri sewa percuma selama enam bulan pertama sebagai galakan kepada peniaga baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan MyKiosk ini menggunakan tenaga solar bagi menjimatkan kos elektrik, selaras dengan usaha kerajaan ke arah pembangunan bandar rendah karbon.
Nga berkata KPKT sudah membantu lebih 7,000 keluarga termasuk golongan B40, penjaja tepi jalan dan peniaga tidak berlesen untuk berniaga secara sah dan berdaftar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPKB atas komitmen mereka dalam menjayakan pelbagai program pro-rakyat yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
-- BERNAMA