Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh perubahan kecil permintaan global.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata saham AS kekal kukuh, didorong oleh syarikat berprestasi terbaik dan gembar-gembur kecerdasan buatan, bukannya keyakinan ekonomi secara menyeluruh.
Beliau berkata manakala pasaran bon menunjukkan andaian lama mula berubah.
“Bagaimanapun, wujud permintaan berterusan daripada kalangan bank pusat terhadap emas.
“China telah menambah rizab emas bagi bulan kelapan berturut-turut -- satu isyarat jelas bahawa pembeli rasmi masih mengumpul emas, tanpa menghiraukan turun naik harian pasaran. Ini membantu menyokong harga emas,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, Julai 2025 meningkat kepada US$3,360.0 bagi setiap auns troy daripada US$3,337.50 manakala Ogos 2025 menokok kepada US$3,378.3 bagi setiap auns troy daripada US$3,355.70.
September 2025 naik kepada US$3,384.20 seauns troy daripada US$3,361.60 sebelum ini.
Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing ditutup tinggi kepada US$3,413.40 seauns troy daripada US$3,390.80 semalam.
Jumlah dagangan susut kepada 12 lot daripada 57 lot, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 67 kontrak daripada 133 kontrak pada Khamis.
Emas fizikal berharga US$3,318.50 seauns troy, berdasarkan penetapan harga petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA) pada 17 Julai, 2025.
-- BERNAMA