SIBU, 21 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut manakala empat lagi terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 38.6 Jalan Musah/Kajah, Song dalam Bahagian Kapit malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata mangsa dikenal pasti sebagai Berain Sinau, 81, meninggal dunia setelah kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
Beliau berkata seorang lagi penumpang, Basir Dingun, 43, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kanowit oleh orang awam untuk rawatan lanjut manakala pemandu berusia 50 tahun dan dua lagi penumpang, masing-masing berusia 61 dan 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Terdapat lima individu dalam kenderaan tersebut. Seorang maut di tempat kejadian, seorang cedera, manakala tiga lagi selamat tanpa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 7.50 malam dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi dengan bantuan pasukan polis menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda.
“Pasukan penyelamat terpaksa melalui jalan balak sejauh 46 kilometer sebelum tiba di lokasi pada 9.23 malam. Bantuan jentolak daripada syarikat pembalakan berhampiran digunakan untuk membuka laluan dan menarik kenderaan ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.
PKO kemudiannya bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.50 pagi.
-- BERNAMA