AM

UKM GAGAL PATUH PROSEDUR PEROLEHAN TIGA TENDER BERNILAI RM66.64 JUTA – LKAN

21/07/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Tiga daripada tujuh tender perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjumlah keseluruhan RM66.64 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.

“Terdapat ketakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di UKM. Keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat oleh semua ahli secara kolektif.

“Ini termasuk Jawatankuasa Pra-Tender yang memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif,” menurut laporan itu.

Laporan turut menyatakan bahawa Naib Canselor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan bertanggungjawab memastikan operasi universiti dan tadbir urus perolehan berjalan dengan teratur, selaras dengan subseksyen 12(3) Perlembagaan UKM serta prinsip duty of care.

Menurut laporan itu, UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.

Antara ketidakpatuhan yang dikenal pasti termasuk pemilihan syarikat pembekal peralatan Linear Accelerator (LINAC) yang tidak memenuhi spesifikasi integrasi dengan sistem sedia ada (ARIA), serta membawa syarikat yang gagal di peringkat teknikal dalam perkhidmatan sajian makanan ke peringkat tender akhir. 

Laporan turut mendedahkan bahawa terdapat pemberian tender kepada syarikat yang tersenarai sebagai projek sakit bagi kerja penggantian lif, selain mengetepikan syor tiga jawatankuasa penilaian utama.

Keputusan tersebut menyebabkan tender diberikan kepada syarikat yang tidak berkeupayaan memenuhi kontrak dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai langkah penambahbaikan, Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar UKM menyelaras semula garis panduan perolehan agar sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan serta memastikan pemantauan rapi terhadap pembekalan peralatan LINAC dan kerja penggantian lif di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) supaya jadual kerja dipatuhi.

“Selain itu, tindakan tatatertib turut disyorkan terhadap pegawai dan ahli jawatankuasa yang terlibat, tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman KPT,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan