AM

ASEAN PERLU JADI PEMAIN UTAMA DALAM AOIP, PASTIKAN INDO-PASIFIK KEKAL BEBAS - MOHAMAD

21/07/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu memainkan peranan utama dalam kerangka Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) bagi memastikan kawasan Indo-Pasifik terus kekal sebagai rantau yang bebas, aman dan berkecuali.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana rantau Indo-Pasifik yang merangkumi kawasan luas dari pantai timur Afrika hingga ke pantai barat Amerika, adalah kawasan strategik yang penting bagi banyak negara termasuk ASEAN. 

“Kawasan Indo-Pasifik ini bermakna dari Lautan Hindi sampailah ke (Lautan) Pasifik… jadi semua negara yang ada dalam lingkungan kawasan tersebut mempunyai kepentingan dalam Indo-Pasifik, maka AOIP menjadi sebagai suatu kerangka bahawa ASEAN tidak boleh terkecuali daripada turut mengambil bahagian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai perkembangan pelaksanaan AOIP dan jumlah rakan dialog ASEAN yang berminat dalam kerangka tersebut.

Mohamad berkata pelbagai mekanisme antarabangsa juga telah diwujudkan di Indo-Pasifik seperti AUKUS iaitu perjanjian keselamatan tiga pihak antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta Quad iaitu forum kerjasama empat hala melibatkan India, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun.

Menjawab soalan asal Mohd Shahar mengenai bagaimana ASEAN boleh menyesuaikan diri dengan landskap geopolitik Indo-Pasifik yang kian berubah, Mohamad berkata Malaysia menyasarkan ASEAN menjadi sebuah komuniti yang teguh, inklusif, mampan serta berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa di rantau itu.

Beliau berkata ini kerana landskap Indo-Pasifik kini semakin berubah dan mencabar susulan persaingan geopolitik dan geoekonomi melibatkan kuasa besar dunia.

“Malaysia akan kekal komited dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara yang proaktif dan menyumbang secara positif terhadap keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik selaras dengan prinsip bebas, berkecuali, keterpusatan ASEAN dan yang menjadi asas kepada blok ASEAN sejak sekian lama,” katanya.

Bagi menyokong usaha itu, beliau berkata Malaysia akan mempergiat aktiviti diplomasi melalui beberapa langkah strategik seperti memperkukuh ASEAN sebagai pemegang taruh utama Indo-Pasifik dan menyesuaikan dasar luar dengan realiti geopolitik baharu.

Selain itu, meningkatkan keupayaan diplomasi ekonomi dan keselamatan, memperkasa Kerjasama Selatan-Selatan serta mengutamakan diplomasi kemanusiaan dan pembangunan mampan. 

Mohamad turut menekankan kepentingan membina kepercayaan strategik melalui dialog terbuka, perbicaraan berterusan dan diplomasi yang terangkum.

Mengulas mengenai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), Mohamad berkata 57 negara telah menandatangani perjanjian tersebut setakat ini, termasuk dua negara terbaharu iaitu Algeria dan Uruguay.

“Banyak lagi negara yang nak masuk, menandatangani perjanjian TAC ini antaranya Cyprus, Sweden dan kita telah pun luluskan dan akan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak yang ke-47,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan