GEORGE TOWN, 21 Julai (Bernama) -- Kenaikan kadar penggunaan air di negeri ini mendorong Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meningkatkan pengeluaran dan pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata pada tahun lepas, purata penggunaan air merekodkan 870 juta liter sehari (JLH), namun pada bulan lepas meningkat kepada 899.2 JLH.
Beliau berkata sebagai respons kepada situasi itu, PBAPP telah menghasilkan purata 1,213.3 JLH air terawat di 10 loji rawatan air negeri ini bulan lepas berbanding 1,208 JLH tahun lepas, dengan kadar air tidak terhasil (NRW) pula direkodkan 25.9 peratus.
“Walaupun begitu, PBAPP masih menerima aduan dan maklum balas berkaitan isu tekanan air rendah secara berkala ketika waktu puncak, khususnya daripada pengguna di kawasan tanah tinggi dan kawasan hujung paip agihan (HPA) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) serta Daerah Barat Daya (DBD).
“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang isu dilaporkan di kawasan muka sauk Lahar Tiang, Terusan Sungai Dua dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang membekalkan lebih 80 peratus air terawat untuk seluruh negeri Pulau Pinang dengan paras sungai Muda merekodkan 2.55 meter pada Sabtu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Pathmanathan berkata PBAPP merancang untuk meningkatkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua bagi membolehkan air dibekalkan secukupnya kepada pengguna kawasan itu.
Beliau berkata kerja-kerja penyelarasan operasi mengepam air terawat dari Sungai Dua ke daerah berkenaan juga sedang dijalankan bagi meminimumkan risiko kejadian paip pecah atau kebocoran.
PBAPP juga katanya mengambil beberapa langkah dengan mengoptimumkan pengeluaran air terawat di sembilan LRA lain di seluruh negeri mengikut keperluan selain menangguhkan semua projek naik taraf LRA bagi memastikan pengeluaran air optimum secara berterusan.
“Selain itu, audit bekalan air di kawasan SPT, SPS dan DBD dilakukan untuk mengenal pasti isu-isu sebenar, menyelaras injap air utama secara besar-besaran bagi mengimbangi agihan bekalan air ke semua daerah dan memantau paip utama untuk mengelak paip pecah serta mengesan dan menangani kebocoran kecil jika ada,” katanya.
Pathmanathan berkata pada 19 Julai, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada pada paras 59.4 peratus dan 53.8 peratus serta pihaknya sedang berusaha mengekalkan kapasiti efektif di kedua-dua empangan itu sehingga hujan dijangka pada September.
Sehubungan dengan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menggunakan air secara berhemat serta menyokong sasaran penjimatan air domestik negeri ini iaitu 250 liter/seorang/sehari (LKH).
-- BERNAMA