AM

NEGERI SEMBILAN AKTIFKAN PELAN TINDAK BALAS JEREBU DAN PEMBAKARAN TERBUKA

21/07/2025 09:08 PM

SEREMBAN, 21 Julai (Bernama) -- Negeri Sembilan mengaktifkan pelan tindak balas negeri berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan selaras dengan arahan Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Pengguna negeri S.Veerapan berkata tindakan itu diambil susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi ambang 150 dalam tempoh berterusan 24 jam.

"Kerajaan negeri akan mempergiat rondaan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka terutama di kawasan pertanian dan lot industri yang berisiko tinggi selain menyediakan data persekitaran yang telus dan boleh akses untuk komuniti bagi menyokong kesedaran serta tindakan bersama.

"Selain itu, menilai pelaksanaan teknologi pembenihan awan secara bersepadu dengan agensi pusat sekiranya pencemaran udara terus meningkat," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat di negeri ini perlu memainkan peranan aktif dengan melaporkan pembakaran terbuka melalui talian aduan JAS serta menyokong usaha negeri ke arah masa depan yang lebih lestari.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) JAS, lapan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat setakat 6 petang. 

Alor Gajah di Melaka merekodkan bacaan tertinggi iaitu 157 diikuti Seremban (155), Kemaman (153) manakala Banting, Temerloh serta Balok Baru di Kuantan masing-masing mencatatkan 152, Nilai (146) dan Johan Setia di Selangor pula mencatatkan bacaan 140. 

Menurut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat iaitu boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak dan individu yang menghidap penyakit pernafasan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan