JENAYAH & MAHKAMAH

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP DIESEL, PETROL BERNILAI RM830,000

21/07/2025 10:52 PM

SANDAKAN, 21 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak diesel, petrol dan tong gas bernilai RM830,000 ke negara jiran dengan penahanan sebuah bot kumpit di 0.8 batu nautika di perairan Tanjung Aru di sini awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata bot itu, yang dikendalikan seorang tekong lelaki bersama tujuh kru lelaki, ditahan pada 1.05 pagi selepas pergerakannya  dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan negara jiran.

"Bot itu didapati membawa muatan 250 tong biru berisi kira-kira 50,000 liter minyak petrol, 15 tong berisi 3,000 liter minyak diesel serta 120 tong gas pelbagai jenama... nakhoda dan kru bot yang berumur antara 27 hingga 50 tahun gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

"Mereka juga gagal mengemukakan  dokumen pengisytiharan secara sah bagi membawa barangan terbabit... pihak polis juga menahan empat lelaki serta dua wanita berumur antara 16 hingga 41 berasal dari negara jiran yang menjadi penumpang bot kumpit terbabit," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Tangkapan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta menjaga keselamatan perairan negara," kata Muhamad Suhairy.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan