GENEVA, 21 Julai (Bernama-Anadolu) -- Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pada Isnin mengeluarkan amaran mengenai situasi yang semakin memerlukan perhatian di Afghanistan, memberi amaran yang negara itu kini terbeban dengan pelbagai krisis dan peningkatan jumlah rakyat yang kembali dari negara jiran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"IFRC amat bimbang terhadap masa depan mereka yang tinggal di Afghanistan dan yang pulang ke negara itu, yang sememangnya sedang berdepan pelbagai krisis yang bertindih," kata organisasi itu dalam satu kenyataan.
Menurut data UNHCR, lebih daripada 2.6 juta orang kembali dari Pakistan dan Iran, kebanyakannya tiba tanpa sebarang harta benda atau keupayaan untuk membina semula kehidupan mereka.
“Jika masyarakat antarabangsa tidak mengambil tindakan segera, komuniti di Afghanistan akan lumpuh akibat jumlah kepulangan yang terlalu ramai,” kata Ketua Delegasi IFRC Afghanistan Sami Fakhouri.
IFRC turut menegaskan yang operasi bantuan kemanusiaan kini berada dalam tekanan yang sangat besar akibat kekurangan dana.
“Kami terpaksa membuat keputusan yang sukar, seperti sama ada dana yang ada mencukupi untuk meneruskan bantuan asas, seperti penyediaan makanan di sempadan bagi mereka yang pulang. Ketika ini, hanya 10 peratus daripada dana yang diperlukan diperoleh,” kata Fakhouri.
-- BERNAMA-ANADOLU