SUKAN

PLBM BELUM MUKTAMAD ATLET KE KEJOHANAN PIALA DUNIA 2025

22/07/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) --  Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) masih belum memuktamadkan atlet mana yang akan beraksi pada kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025, yang akan berlangsung di tanah dari 4 hingga 8 Nov.

Presidennya Datuk Awalan Abdul Aziz berkata masing-masing 10 atlet lelaki dan 10 wanita akan dipilih untuk disenarai pendek kepada lima lelaki dan lima  wanita, bagi menyertai kem latihan sebagai persediaan untuk beraksi di kejohanan berprestij tersebut.

Beliau berkata kesemua 10 atlet berkenaan akan sekali lagi dinilai prestasi mereka di kem latihan berkenaan, sebelum memilih tiga atlet lelaki dan tiga atlet wanita untuk membawa cabaran negara ke Piala Dunia.

“Dalam keadaan sekarang kita ada atlet yang pernah menjadi nombor satu dunia iaitu Nor Farah Ain Abdullah yang masih cedera, kita masih belum tahu keadaan dia mampu atau tidak untuk sertai Piala Dunia.

“Jadi kita pilih atlet ke kejohanan itu berdasarkan prestasi, siapa yang terbaik kita hantar ke Piala Dunia, berdasarkan kepada merit,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Minggu lepas media tempatan melaporkan Nor Farah Ain telah kembali menjalani latihan selepas dua bulan berehat akibat kecederaan bahu kanan.

Sebagai rekod, baru-baru ini skuad boling padang negara mencipta sensasi apabila berjaya merampas semula gelaran juara keseluruhan Piala Lion City 2025 yang berlangsung di Singapura pada 12 Julai.

Pada kejohanan berlangsung di Kallang Lawn Bowls Green dan Tanglin Club itu, skuad negara membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan enam gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan berdasarkan kutipan pingat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan