KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Unit milik penuh Bursa Malaysia Bhd, Bursa Carbon Exchange (BCX) telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan UEM Lestra Bhd, unit milik penuh UEM Group Bhd untuk merintis lelongan Kontrak Bekalan Tenaga Dua Hala (BESC) pertama di Malaysia di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
MoC itu ditandatangani pada majlis dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Bhd Harman Faiz Habib Muhamad.
Fad’l berkata MoC itu memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan korporat ke arah amalan yang lebih hijau.
“Paling ketara, kami berbuat demikian dengan mengukuhkan piawaian pendedahan, memperkemas pelaporan kemampanan dan membangunkan ekosistem yang menyokong penyahkarbonan dan amalan mampan melalui pelbagai perkhidmatan.
“Ini termasuk menubuhkan BCX, pasaran karbon sukarela patuh shariah pertama di dunia, kini beroperasi sebagai pertukaran produk pelbagai persekitaran untuk perdagangan kredit karbon dan sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) melalui kontrak standard,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoC antara BCX dan UEM Lestra.
Lelongan BESC akan dilancarkan di BCX, membolehkan syarikat korporat membida elektrik hijau daripada projek fotovoltaik solar (PV) hibrid berskala besar UEM Lestra berdasarkan permintaan masing-masing.
Ia adalah lelongan pertama dijalankan di bawah rangka kerja CRESS, inisiatif kerajaan berkenaan disasarkan untuk meningkatkan akses korporat kepada elektrik boleh baharu menerusi akses pihak ketiga kepada grid nasional di Semenanjung Malaysia.
Di bawah kerjasama itu, BCX akan menyediakan platform lelongan sebagai perkhidmatan untuk memudahkan proses pembidaan terbuka dan kompetitif.
UEM Lestra kini sedang membangunkan beberapa projek PV solar hibrid berskala besar termasuk projek flagship (utama) satu gigawatt di Segamat, Johor.
Ia dijadual memulakan operasi pada suku pertama 2028, kemudahan itu dijangka menjana lebih daripada 1.0 juta megawatt-jam tenaga elektrik bersih setiap tahun dan mengimbangi hampir 800,000 tan pelepasan karbon dioksida setahun.
Lelongan itu bertujuan untuk mempromosikan penemuan harga telus untuk tenaga solar dan membolehkan syarikat yang mengambil bahagian atau bakal peminjam untuk menyertai BESC dengan UEM Lestra.
Ia juga dijangka meningkatkan kecairan di BCX melalui penyelesaian REC, sebaik sahaja projek solar mencapai operasi komersial.
Harman berkata kerjasama itu menawarkan sekotr korporat mengakses tenaga bersih seiring dengan matlamat kemampanan mereka.
Beliau berkata untuk memulakan kerjasama ini, syarikat itu mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan bidaan mereka menerusii platform lelongan baharu ini untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau berdasarkan permintaan mereka.
“Ini akan menyokong syarikat dalam mencapai komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka dengan cara lebih pantas, mudah dan lebih berkesan, menghapuskan halangan dan dapat akses kepada tenaga bersih dengan cara berskala dan dipacu pasaran,” katanya.
Melangkah ke depan, beliau berkata platform itu boleh memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat iklim Malaysia termasuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu dalam campuran elektrik kepada 40 peratus menjelang 2035.
Lelongan perintis tersebut dijadualkan berlangusng pada November 2025, tarikh muktamad akan diumumkan pada Forum Pasaran Karbon Malaysia ke-3 pada 15 Oktober depan.
-- BERNAMA