KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Satu latihan simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia akan diadakan esok di bawah kerangka kerjasama Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) kali ke-14, menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Sehubungan itu, laluan kontra akan diaktifkan dari Kompleks Bangunan Kastam Singapura ke Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru iaitu di KM 1.70 hingga KM 0.6 (arah utara) Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mulai 4 pagi hingga 2 petang esok.
Menurut PLUS latihan simulasi tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan, masa tindak balas, tahap persediaan dan tindakan yang diambil oleh pasukan penyelamat serta agensi berkaitan kedua-dua negara dalam menghadapi situasi kecemasan.
"Pengguna Lebuhraya Linkedua yang menggunakan laluan tersebut disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.
"Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas ketika melalui kawasan terbabit," menurut PLUS dalam kenyataan hari ini.
Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Pembantu Maya - PUTRI, aplikasi X@plustrafik dan Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
-- BERNAMA