JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA APM MAUT DUA HARI SELEPAS TERLIBAT DALAM KEMALANGAN

22/07/2025 04:29 PM

ALOR SETAR, 22 Julai (Bernama) -- Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling meninggal dunia pagi ini, dua hari selepas terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan untuk bertugas pada program bersama pengamal media Kedah di Baling.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Lt (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata Muhamad Armin Abdullah, 22, meninggal dunia kira-kira 5 pagi ini di Hospital Baling.

Beliau berkata dalam kejadian Ahad lepas, arwah ketika itu ditugaskan sebagai urusetia bagi Latihan Pemantapan Kecergasan melibatkan aktiviti kayak yang disertai pengamal media Kedah di KSP Campsite, Baling.

“Semasa dalam perjalanan ke lokasi program, motosikal Muhamad Armin terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Limau, dan akibat kemalangan itu, arwah mengalami kecederaan patah tangan kiri serta kaki kiri,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Faizol berkata jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Limau selepas semua proses selesai sepenuhnya.

“Arwah yang menyertai APM pada 2022 merupakan seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas dan sangat berdisiplin. Pemergian arwah adalah satu kehilangan yang besar buat seluruh warga APM terutamanya APM Baling,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan