Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh kenaikan niaga hadapan getah serantau dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan cuaca buruk di negara-negara pengeluar utama, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut didorong oleh laporan jualan kenderaan China yang menggalakkan dalam persekitaran optimisme berterusan mengenai rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah dan ringgit yang tinggi berbanding dolar AS dalam kebimbangan yang meningkat mengenai dasar tarif AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, minyak mentah Brent merosot 1.03 peratus kepada US$68.47 setong.
Katanya niaga hadapan getah Jepun tinggi pada Selasa berikutan hujan lebat di negara-negara pengeluar utama yang mewujudkan kebimbangan mengenai bekalan manakala jualan kenderaan yang kukuh di China turut menyokong pasaran.
“Dilaporkan bahawa agensi meteorologi Thailand, pengeluar getah utama dunia, telah memberi amaran mengenai hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dari 21 hingga 24 Julai,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 7.5 sen kepada 743 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 3.5 sen kepada 573.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA