AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI KOMITED PERKUKUH EKOSISTEM DALAM TALIAN NEGARA

22/07/2025 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi kekal komited untuk memperkukuh ekosistem dalam talian negara dengan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan adil untuk pengkarya tempatan terus berkarya, berkongsi, dan berkembang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementerian itu menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penggubalan perundangan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan yang dimuat naik ke platform dalam talian.

“Langkah ini penting bagi memastikan karya tempatan tidak berdepan pelbagai bentuk ancaman, termasuk plagiat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque bersempena dengan Majlis Pelancaran Buku Melukis dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun karya beliau hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkata beliau hadir bagi memberikan sokongan kepada Zunar pada majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri itu.

Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar setebal 230 muka surat mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni anak kelahiran Kedah itu daripada kartun pertamanya di Majalah Bambino, Majalah Gila-Gila, Berita Harian, Harakah, dan MalaysiaKini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan