AM

MOHAMED KHALED MULAKAN LAWATAN RASMI TIGA HARI KE TURKI

23/07/2025 02:14 PM

Daripada Mohd Adli Shahar

ISTANBUL, 23 Julai (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di sini malam tadi untuk lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula hari ini.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada 9.30 malam waktu tempatan (2.30 pagi waktu Malaysia) dengan disambut Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar dan Pegawai Pengiring Turkiye Kapten Jurutera Serkan Ekin.

Mengiringi beliau, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan delegasi Kementerian Pertahanan.

Sepanjang lawatan rasmi ini, Mohamed Khaled dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatnya termasuk Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler,  Menteri Industri Pertahanan Azerbaijan Vugar Mustafayev dan Menteri Pertahanan Sudan Hassan Daoud Kayan.

Beliau juga akan menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025, iaitu antara pameran pertahanan berprestij di dunia dan dianjurkan Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MOND), bertempat di Pusat Ekspo Istanbul.

Beberapa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan syarikat dari Malaysia dengan pihak Turkiye turut dijadualkan berlangsung ketika pameran tersebut.

IDEF 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai menghimpunkan wakil sektor awam dan swasta dari seluruh dunia bagi mempamerkan serta meneroka produk dan teknologi pertahanan terkini.

Dalam rangka lawatannya, Mohamed Khaled dijadual mengadakan pertemuan dengan Sekretariat Industri Pertahanan (SSB), iaitu agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan industri pertahanan dan teknologi ketenteraan Turkiye.

Beliau juga dijangka meninjau perkembangan pembinaan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Kelompok Kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), di Istanbul Shipyard.

Pada Jun tahun lepas ketika lawatan kali pertama Mohamed Khaled ke Turkiye, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga buah kapal berkenaan kepada STM.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan