AM

ISU JENAYAH SIBER, KOS SARA HIDUP DAN BIL TNB TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

23/07/2025 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Isu jenayah siber, kos sara hidup dan perubahan struktur bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara perkara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Chong Zhemin (PH–Kampar) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bilangan kes jenayah siber yang dilaporkan sepanjang tahun 2024 serta langkah kementerian bagi meningkatkan tahap keselamatan digital rakyat pada sesi soal jawab.

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) pula akan bertanya kepada Menteri Kewangan mengenai strategi kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, berikutan jumlah hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion.

Beliau turut menyentuh unjuran Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2025 menurun kepada 3.9 peratus serta situasi negara yang berdepan dengan tarif timbal balik Amerika Syarikat.

Turut dijangka menjadi perhatian ialah soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan mengenai perubahan struktur bil elektrik TNB yang tidak lagi menggunakan kadar bertingkat bagi pengguna domestik.

Beliau juga ingin mengetahui sama ada mekanisme baharu itu akan memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga, dan pengekalan subsidi bersasar untuk golongan B40 dan M40.

Selain itu, Chong Chieng Jen (PH–Stampin) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Komunikasi berhubung tanggungjawab media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Xiaohongshu yang menyiarkan iklan mengenai pelbagai scam dan skim pelaburan penipuan, terhadap mangsa-mangsa yang terperdaya melalui platform berkenaan.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 serta Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025, masing-masing bagi bacaan kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 24 hari, dan antara yang menjadi tumpuan ialah pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13)  pada 31 Julai ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan