EKONOMI

EKONOMI MALAYSIA KEKAL BERDAYA TAHAN DI TENGAH-TENGAH CABARAN GLOBAL - AMRO

23/07/2025 10:58 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Malaysia terus mempamerkan ekonominya yang berdaya tahan pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang memberangsangkan dan keadaan pasaran buruh yang kukuh walaupun berdepan tekanan daripada ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar.

Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) Dong He berkata bagaimanapun, sekiranya tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa 1 Ogos pada kadar semasa 25 peratus, pertumbuhan KDNK Malaysia boleh menurun daripada 5.1 peratus pada 2024 kepada 4.2 peratus pada 2025, dan seterusnya kepada 3.8 peratus pada 2026.

“Ini menunjukkan kesan langsung ke atas eksport Malaysia ke AS, kesan tidak langsung melalui barangan perantaraan yang dihantar ke negara lain untuk pasaran AS, serta kelembapan lebih luas dalam pertumbuhan perdagangan global.

Bagaimanapun, permintaan dalam negeri akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata eksport yang lebih awal telah menyokong momentum ekonomi pada awal tahun. Pada masa yang sama, sektor utama seperti teknologi maklumat dan komunikasi serta pembuatan kekal aktif, disokong oleh pelaburan dalam pusat data dan kepelbagaian industri.

Bagaimanapun, prospek bagi separuh kedua tahun ini dan seterusnya masih diselubungi dengan ketidaktentuan daripada luaran, terutamanya hasil rundingan perdagangan AS yang sedang berjalan.

Bagi mengekalkan momentum, He berkata keutamaan dasar Malaysia harus merangkumi penglibatan diplomatik yang berterusan dengan AS mengenai isu-isu perdagangan, kepelbagaian pasaran eksport dan penekanan yang lebih besar ke atas sektor perkhidmatan yang biasanya kurang terdedah kepada langkah-langkah proteksionisme.

Beliau menambah mempercepatkan pembaharuan struktur kekal penting, terutamanya melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Di peringkat serantau, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi untuk memberi kelebihan strategik, memangkin pelaburan dan inovasi rentas sempadan.

“Tarif AS boleh meningkatkan daya tarikan JS-SEZ, terutamanya jika Singapura dikenakan tarif yang jauh lebih rendah berbanding negara seperti Vietnam dan Mexico,” katanya.

Beliau menambah komitmen yang kuat terhadap kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia meningkatkan keyakinan terhadap prospek zon itu, terutamanya dalam persekitaran global yang tidak menentu yang dipengaruhi oleh peningkatan proteksionisme.

“Secara bersama-sama, dengan daya tarikan ekonomi zon itu dan sokongan politik dapat menarik pelabur asing yang ingin menubuhkan pangkalan di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata untuk JS-SEZ berjaya, beberapa cabaran perlu ditangani termasuk antara lain, pergerakan rentas sempadan bagi orang dan barangan, infrastruktur di selatan Johor, jurang gaji, kekurangan tenaga kerja dan kesinambungan dasar.

“Jika berjaya, JS-SEZ boleh berfungsi sebagai pelan tindakan untuk inisiatif integrasi serantau masa depan. Sebagai contoh, ia boleh memberi inspirasi kepada zon ekonomi rentas sempadan yang serupa antara Thailand dan Laos atau Vietnam dan Kemboja,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan