EKONOMI

EKONOMI ASEAN DIJANGKA KEKAL TUMBUH LEBIH 4.0 PERATUS DALAM PERSEKITARAN CABARAN GLOBAL

23/07/2025 11:01 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Ekonomi ASEAN dijangka mengekalkan pertumbuhan lebih empat peratus dalam persekitaran cabaran global, dengan unjuran sebanyak 4.4 peratus pada 2025 dan 4.2 peratus pada 2026, menurut Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) Dong He.

Beliau berkata semakan menurun sederhana daripada unjuran AMRO pada April lepas adalah disebabkan oleh kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

“Namun, ditegaskan bahawa meskipun berdepan cabaran ini, kekuatan asas ASEAN, iaitu pasaran domestik yang dinamik, pengukuhan integrasi serantau dan keupayaan pengurusan krisis yang terbukti, meletakkan rantau ini dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi tekanan global,” katanya kepada Bernama.

Dong berkata pertumbuhan mampan rantau ini disokong oleh tiga faktor utama – permintaan domestik yang kukuh, asas ekonomi yang lebih pelbagai, serta ruang dasar yang mencukupi untuk bertindak balas.

Beberapa bank pusat pula telah mula melonggarkan dasar monetari, manakala kerajaan melaksanakan langkah fiskal bersasar untuk menyokong sektor yang terjejas, katanya.

Bagaimanapun, risiko penurunan yang ketara bagi rantau ini kekal, termasuk ketidaktentuan berterusan dasar perlindungan perdagangan AS, dengan landskap tarif yang berubah dengan ketara sejak 2 April.

Beliau berkata sekiranya berlaku senario lebih buruk dengan peningkatan ketegangan, AMRO mengunjurkan pertumbuhan ASEAN boleh merosot ke bawah tiga peratus pada 2026, kadar terendah sejak Krisis Kewangan Global, tidak termasuk tahun-tahun pandemik.

Senario itu termasuk pelaksanaan tambahan tarif 10 peratus terhadap ekonomi yang sejajar dengan BRICS, serta sektor-sektor yang sebelum ini dikecualikan seperti semikonduktor dan farmaseutikal dikenakan tarif setinggi 25 peratus.

Selain itu, masih banyak butiran kritikal yang belum diperjelaskan, seperti definisi penghantaran semula (transshipment), yang boleh memberi kesan besar kepada rantaian bekalan serantau, katanya sambil menambah bahawa langkah perlindungan bukan tarif termasuk penapisan pelaburan yang lebih ketat dan kawalan eksport yang diperluas boleh memburukkan lagi impak tersebut.

Sementara itu, Dong berkata peningkatan dasar perlindungan global mencetuskan semula momentum untuk integrasi ASEAN, sekali gus menekankan kepentingan strategik dalam mengeratkan lagi hubungan ekonomi serantau.

Antara bidang tumpuan utama termasuk memperkukuh aliran pelaburan intra-serantau, infrastruktur dan keterhubungan, serta mengamalkan pendekatan dua hala – iaitu memperkukuh integrasi serantau sambil memperluas hubungan global.

Beliau menarik perhatian bahawa perdagangan intra-ASEAN kini mewakili 23 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan, namun masih terdapat potensi besar yang belum diterokai dalam hubungan pelaburan.

Mengenai kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN, Dong berkata penambahan keanggotaan itu berpotensi membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan, namun memerlukan penyelarasan rapi dan sokongan pembangunan keupayaan bagi memastikan integrasi yang lancar.

“Dalam persekitaran semasa, integrasi ASEAN bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan. Dengan memanfaatkan kekuatan pelengkap dalam kalangan negara anggota – daripada pasaran baharu yang mempunyai dividen demografi hingga ke ekonomi maju berteknologi tinggi – rantau ini boleh mewujudkan kitaran pelaburan, pemindahan teknologi dan kemakmuran bersama,” kata beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan