AM

TEKNOLOGI PEMBEDAHAN ROBOTIK PERKASA RAWATAN ENDOMETRIOSIS

23/07/2025 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengenalan pembedahan dengan bantuan robotik menandakan kemajuan dalam rawatan endometriosis, iaitu sejenis penyakit kronik yang menjejaskan satu daripada 10 wanita di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Endometriosis sering dikaitkan dengan kesakitan teruk dan boleh menjejaskan kehidupan semasa hadi, hubungan seksual, buang air besar atau kencing, sakit pelvis kronik, kembung perut, keletihan dan adakalanya kemurungan, kegelisahan dan ketidaksuburan.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi & Kesuburan di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Thow Sun Ta berkata pembedahan dengan bantuan robotik menyediakan pembedahan yang tepat dan invasif minimum merentas pelbagai kepakaran perubatan termasuk endometriosis.

Beliau berkata walaupun intervensi pembedahan tradisional masih menjadi kaedah utama dalam banyak pembedahan, ia juga mempunyai kelemahan tersendiri seperti tempoh pemulihan yang panjang dan pembedahan itu sendiri agak kompleks.

Dr Thow berkata dalam laparotomi tradisional iaitu pembedahan terbuka untuk endometriosis, disebab sudut pandangan dan penglihatan terhad, pakar bedah sering mengalami kesukaran membuang lesi endometriotik sepenuhnya.

“Sepanjang pengalaman saya, 90 peratus lesi endometriotik berlaku di bahagian belakang rahim yang menyukarkan pakar bedah untuk mengenal pasti kedudukan sekiranya melakukan prosedur laparotomi konvensional.

“Bagaimanapun, pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan sokongan visual yang dipertingkatkan seperti sudut berbilang dan penglihatan berkualiti tinggi, bagi membolehkan pakar bedah mengenal pasti lesi yang mungkin terlindung daripada penglihatan langsung dan tidak disedari,” katanya.

Selain itu, dengan tempoh pemulihan lebih singkat, komplikasi berkurangan dan parut minimum dengan kurang kesakitan dan kehilangan darah, menjadikan pembedahan dengan bantuan robotik sebagai pilihan rawatan yang sesuai melibatkan lesi kompleks dan tersembunyi, di samping membolehkan pesakit kembali kepada gaya hidup normal lebih cepat.

“Kami mempunyai ramai pesakit mengalami dismenoria yang teruk akibat endometriosis. Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan bantuan robotik, hampir kesemua mereka menunjukkan kelegaan simptom sepenuhnya,” kata beliau.

Menurut Dr Thow, satu daripada kelebihan pembedahan bantuan robotik ialah potensinya untuk mengekalkan kesuburan, memandangkan endometriosis boleh memudaratkan organ reproduktif dengan teruk seperti tiub fallopio, mengurangkan simpanan ovari serta mewujudkan persekitaran berlawanan untuk persenyawaan dan implantasi.

Walaupun semua pesakit boleh dipertimbangkan, Dr Thow berkata kesesuaian pembedahan bantuan robotik sesuai bagi kes endometriosis yang memerlukan pembedahan terbuka seperti endometriosis infiltratif dalam - keadaan tisu seakan endometrium tumbuh jauh ke dalam struktur pelvis, menyebabkan kesakitan teruk dan beberapa komplikasi lain atau benigna besar iaitu ketumbuhan bukan kanser yang  boleh berlaku di pelbagai bahagian badan.

Dr Thow menjangkakan peningkatan dalam pembedahan robotik di Malaysia, terutamanya bagi penyakit mencabar seperti endemetriosis.

Beliau berkata di sebalik cabaran sedia ada, pakar bedah baharu sedang giat dilatih untuk mengguna pakai kaedah robotik dalam pembedahan, sekali gus menggalakkan pertambahan tenaga pakar diperlukan untuk mengendalikannya.

“Walaupun kebolehcapaian pembedahan dengan bantuan robotik adalah terhad pada masa ini, saya meramalkan robotik akan memainkan peranan lebih besar dalam pembedahan selain fungsi sokongan kerana ia berpotensi memberikan potongan lebih tepat, memendekkan masa pembedahan dan mengurangkan kemungkinan komplikasi.

“Dalam sesetengah kes juga, pesakit kami berasa lebih yakin apabila prosedur mereka melibatkan robotik, terutamanya bagi bagi prosedur lebih kompleks. Sudah tentu keputusan memilih sama ada pembedahan robotik atau tradisional akan dibuat secara kolaboratif antara pesakit dan doktor, dengan mengambil kira semua pilihan dan keadaan individu berkenaan,” katanya.

Dr Thow berkata susulan perkembangan teknologi inovatif dalam prosedur pembedahan, secara tidak langsung ia mempersiapkan pengamal penjagaan kesihatan profesional untuk bertindak dan menguruskan kes lebih rumit sekali gus menyediakan penjagaan kepada lebih ramai pesakit dalam tempoh jangka panjang.

Sebagai satu daripada hospital swasta terbesar di Malaysia, SMC mempunyai beberapa sistem pembedahan robotik tercanggih di pasaran melalui Pusat Kecemerlangan Pembedahan Robotik dan Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Minimal Invasif (MIS) untuk menangani pelbagai masalah kesihatan termasuk kesihatan wanita.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan