AM

KELANTAN TEROKA PELBAGAI SUMBER BAHARU ELAK PERGANTUNGAN HASIL TRADISI

23/07/2025 03:43 PM

KOTA BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan kini meneroka pelbagai sumber hasil baharu termasuk perlombongan industri unsur nadir bumi (REE), tenaga baharu serta penerokaan karbon dan hidrogen bagi menjana pendapatan tambahan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada hasil tradisi dengan Kelantan merupakan negeri kedua paling banyak mempunyai sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Beliau berkata berkata kerajaan negeri bagaimanapun tidak boleh bergerak terlalu pantas dalam beberapa perkara kerana perlu mematuhi undang-undang dan dasar yang ditetapkan di peringkat Persekutuan.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini berada di peringkat akhir untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Iklim Negara, selain dasar pasaran karbon kebangsaan yang dijangka diluluskan pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri juga memperkenalkan polisi monetari dan bukan monetari melalui beberapa enakmen bagi memperkukuh hasil negeri termasuk melalui enakmen penggunaan tanah, infrastruktur dan utiliti yang berjaya mengumpul hasil sebanyak RM12.1 juta dari 2022 hingga Jun 2025.

"Ini termasuk kutipan daripada perkhidmatan menara telekomunikasi, audit menara, pembetungan air dan elektrik. Bagi sektor pertanian pula, kita melaksanakan Enakmen Pertanian Negeri 2022 yang kini sedang dalam proses pelaksanaan dan pelarasan,” katanya.

Beliau berkata bagi polisi bukan monetari, kerajaan negeri melalui pelaksanaan Jawatankuasa Kawal Selia turut merancang dan menyelaras pelbagai projek pembangunan yang berjaya menjana kutipan sebanyak RM52.4 juta dari 2019 hingga 2024.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan