DUNIA

44 INDIVIDU DISIASAT KES KEBAKARAN HUTAN DAN TANAH DI RIAU - BNPB

23/07/2025 04:34 PM

JAKARTA, 23 Julai (Bernama) -- Seramai 44 individu dikenal pasti sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang melanda Provinsi Riau, Indonesia sejak Januari hingga Julai tahun ini, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Dalam mesyuarat koordinasi menangani kebakaran di Pekanbaru pada Selasa, ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata sebanyak 35 kejadian kebakaran telah direkodkan hasil tindakan pihak berkuasa.

“Penguatkuasaan undang-undang sudah dilaksanakan dan seramai 44 orang telah dikenal pasti sebagai suspek setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Suharyanto, kebakaran bukan berpunca daripada cuaca kering semata-mata, sebaliknya didalangi perbuatan manusia yang sengaja membuka tanah pertanian dengan cara membakar.

“Saya lihat sendiri trend ini terjadi selama bertahun-tahun, kebakaran ini memang berpunca daripada tindakan manusia. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan,” tegasnya.

Beliau menggesa penduduk agar tidak membuka tanah dengan membakar, dan segera melaporkan kepada pihak polis, tentera atau pemerintah tempatan sekiranya mengesan aktiviti pembakaran yang mencurigakan.

Suharyanto berkata jumlah titik panas menunjukkan sedikit penurunan susulan operasi pembenihan awan yang dilaksanakan bermula Isnin menggunakan sebuah pesawat dan sebuah lagi pesawat akan ditambah bagi memaksimumkan usaha pemadaman.

“Teknik ini paling berkesan, terutama bagi kawasan tanah gambut kerana api mungkin sudah padam di permukaan tetapi masih terbakar di bawah tanah,” katanya.

Dilaporkan, kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan 12 daerah di Riau melibatkan lebih 100 hektar dengan Bengkalis dan Kampar paling teruk terjejas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan