PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Institut Integriti Malaysia (IIM) yang baharu berkuat kuasa hari ini dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
IIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu adalah bagi menggantikan Rahman Mohd Din yang kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sejak 21 Julai lepas.
Menurut IIM, Ahmad Ramdzan memulakan kerjaya di PDRM sebagai Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada April 1987.
IIM memaklumkan sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, Ahmad Ramdzan menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Ekonomi di Cawangan Khas serta Ketua Cawangan Khas Johor dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada 2022.
"Di peringkat antarabangsa pula, Ahmad Ramdzan merupakan Presiden Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik (Divisyen ke-7 Malaysia)," menurut kenyataan itu.
Ahmad Ramdzan juga berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kepujian dalam Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 2008.
Seluruh warga IIM merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Ahmad Ramdzan atas pelantikan itu dan juga setinggi-tinggi penghargaan buat Rahman atas jasa serta khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di institut berkenaan.
-- BERNAMA