DUNIA

SETIAUSAHA PERBENDAHARAAN AS: HASIL TARIF CECAH US$100 BILION

23/07/2025 06:18 PM

WASHINGTON, 23 Julai (Bernama-dpa) -- Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah mengutip hasil tarif hampir US$100 bilion, kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent pada Selasa, lapor agensi berita Jerman, dpa.

"Kita hampir mencecah US$100 bilion. Saya percaya kita boleh mencapai kutipan tahunan sebanyak US$300 bilion," katanya dalam satu temu bual dengan penyiar AS, Fox Business ketika ditanya mengenai jumlah semasa hasil tarif.

Bessent sebelum ini pernah mencadangkan kemungkinan untuk mencapai jumlah kutipan sebanyak US$300 bilion menjelang akhir tahun ini. Bagaimanapun, masih tidak jelas tempoh masa khusus yang dirujuk oleh Bessent berhubung angka kutipan hampir US$100 bilion itu.

Setiausaha itu menekankan bahawa hasil kutipan tarif telah meningkat pada Jun, namun tidak menyatakan jumlahnya.

--BERNAMA-dpa

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan