KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan ancaman luar disyaki didalangi agensi perisikan asing yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata terdapat dua insiden yang dilaporkan dan disiasat polis disyaki didalangi agensi perisikan asing iaitu penculikan warga Palestin dan kes pemilikan enam pucuk senjata api oleh seorang warga Israel.
“PDRM sentiasa bersedia dalam usaha mencegah dan menangani pelbagai ancaman luaran yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara termasuklah sebarang agenda yang dibawa oleh agensi perisikan asing yang mungkin cuba campur tangan atau mengganggu-gugat kestabilan dan kedaulatan negara.
“Pelbagai mekanisme telah diambil bagi memantau kemasukan warga asing melalui semua pintu masuk negara secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Interpol,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini termasuk mereka yang bermastautin atau berada di Malaysia atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.
Mengulas keselamatan komuniti Palestin di Malaysia, Mohd Khalid menasihati mereka supaya lebih berwaspada dan tidak menarik perhatian umum.
“Dalam tindakan menjamin keselamatan warga Palestin yang menetap di Malaysia, mereka dinasihatkan mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelak daripada menjadi sasaran terpilih dan melaporkan kepada polis mengenai sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menjalinkan kolaborasi strategik dengan agensi keselamatan lain melalui pertukaran maklumat serta pandangan secara berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“PDRM kekal komited dalam memastikan keselamatan Malaysia serta kesejahteraan rakyatnya sentiasa terpelihara,” katanya
-- BERNAMA