DUNIA

IRAN HARGAI HUBUNGAN DENGAN MALAYSIA, MAHU PERLUAS KERJASAMA

24/07/2025 06:03 AM

Oleh Suraidah Roslan and Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Iran kekal komited untuk mengukuhkan hubungannya dengan Malaysia dan sedang giat meneroka kerjasama baharu merentas semua sektor.

Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata hubungan antara Tehran dan Kuala Lumpur kekal kukuh walaupun Iran telah dikenakan sekatan selama 45 tahun.

“Hubungan dan kerjasama kami (dengan Malaysia) adalah baik dan sudah tentu, antara terbaik yang kami ada. Tetapi dari segi kerjasama ekonomi, kedua-dua negara sedang berusaha sedaya upaya untuk memperluas hubungan ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, pada Rabu.

Valiollah berkata negara itu berharap dapat memperluas kerjasamanya dengan Malaysia dalam sektor bernilai tinggi seperti pelancongan perubatan, yang mana Iran boleh menawarkan teknologi canggihnya, serta dalam industri pertahanan dan teknologi.

Beliau berkata Iran telah menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia yang diadakan di sini tahun lepas serta Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei lepas.

Beliau berkata kedua-dua negara boleh memperkukuh hubungan perdagangan dalam sektor pertanian.

“Kami mempunyai banyak produk yang mungkin boleh diimport oleh Malaysia, seperti buah-buahan. Pada masa sama, kami juga mengimport banyak produk dari Malaysia, termasuk minyak sawit dan koko.

“Kita adalah rakan baik, jadi kita mesti bekerjasama dan berusaha untuk mencapai hasil yang baik,” katanya.

Valiollah juga berharap Iran dan Malaysia dapat mengaktifkan semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Tehran bagi merancakkan sektor pelancongan dan mengukuhkan hubungan pendidikan antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, sebelum pandemik COVID-19, kira-kira 100,000 rakyat Iran tinggal di Malaysia dengan 20,000 daripadanya merupakan pelajar universiti.

Valiollah turut memuji kepemimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan menghargai sokongan tidak berbelah bahagi negara ini kepada Iran semasa konflik dengan Israel.

Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (US$570 juta), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.

Pada 2023, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan